Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w.) inilah jalanKu, Aku dan orang-orang yang menurutKu, menyeru (manusia umumnya) kepada Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas. (Yusuf:108)
Dan maksud seruan kepada Allah ialah seruan kepada agamaNya iaitu agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. daripada Tuhannya. Firman Allah :
Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah ialah Islam (Ali Imran:19)
Dengan ini, Islam adalah topik dan teras kepada dakwah itu sendiri. Jadi Islam menjadi asas atau dasar pertama bagi dakwah. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan Islam yang agung ini dengan cara yang terbaik dan sempurna. Baginda menyampaikannya secara berterusan sehingga ke akhir hayat semenjak Allah memuliakannya melalui perlantikan sebagai seorang Rasul. Untuk tujuan dakwah inilah, maka Allah mengutuskan baginda. Firman Allah:
Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi(terhadap umatmu). Dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi. (al-Ahzab:45-46)
Dengan ini, baginda s.a.w. merupakan pendakwah pertama yang menyeru manusia kepada Islam. Oleh itu, pendakwah adalah asas kedua bagi dakwah. Golongan yang diseru oleh baginda kepada Islam adalah terdiri daripada bangsa Arab dan bukan Arab. Ini kerana risalah baginda bersifat sejagat merangkumi seluruh umat manusia, tidak terbatas kepada bangsa Arab sahaja. Firman Allah:
Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Saba’:28)
Dengan ini, golongan yang diseru atau sasaran dakwah ini merupakan asas ketiga bagi dakwah. Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan dakwah berdasarkan kaedah dan teknik yang telah diwahyukan oleh Allah, menurut Al-Quran dan Sunnah. Kaedah dan teknik dakwah serta semua yang berkaitan dengannya menjadi asas keempat bagi dakwah.
Kesimpulannya, dakwah terdiri daripada empat asas iaitu topik dakwah, pendakwah, sasaran dakwah dan kaedah dakwah.