Persidangan Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan usul mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza mengakibatkan sembilan aktivis terkorban dan 12 rakyat Malaysia ditahan pada 31Mei lalu.
Usul yang dibentang pada 11.30 pagi tadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan setelah perbahasan lebih lima jam oleh wakil kerajaan, pembangkang dan bebas.
Keputusan sebulat suara itu diumumkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee ketika majoriti anggota parlimen berada dalam dewan kecuali mereka yang mempunyai urusan rasmi di luar, termasuk anggota parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, yang turut mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza bersama Perdana Global Peace Organisation (PGPO) dengan kapal MV Rachel Corrie.
Berikut ialah 15 ketetapan yang dipersetujui ahli dewan:
(1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam;
(2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut;
(3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencela Israel dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang lemah;
(4) Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza;
(5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan Tentera Rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);
(6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ);
(7) Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);
(8) Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera Rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak;
(9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini;
(10) Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu;
(11) Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan;
(12) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghirau dan gentar kepada ancaman Rejim Zionis;
(13) Merakamkan penghargaan kepada negara-negara Jordan, Turki, Ireland, Filipina dan juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh Rejim Zionis;
(14) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat;
(15) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.
Sumber: Bernama
Sehubungan dengan itu, JKSK menyambut baik usul yang dibentangkan Perdana Menteri dan menyokong penuh 15 ketetapan tersebut. Kami juga berharap agar usul ini tidak dipandang sebelah mata oleh Israel dan sekutunya, sebalikya diberi perhatian serius agar mereka tidak meneruskan kerja-kerja jahat menindas bangsa Palestin dan umat Islam seluruhnya.
JKSK turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada wira-wira negara seramai 18 orang termasuk 6 aktivis dan wartawan yang baru pulang ke tanah air lewat petang tadi. Meskipun misi menyampaikan bantuan ke Gaza tidak berjaya, namun usaha dan pengorbanan mereka telah berhasil membuka mata dunia bahawasanya suatu kaum yang dipanggil Zionis yang tinggal di tanah milik orang lain secara haram adalah kaum yang paling kejam pernah keluar ke muka bumi setakat ini.
Dunia kini sedar, penderitaan rakyat Palestin bukanlah semata-mata akibat tanah mereka dirampas, malah hakikatnya kehidupan mereka semakin terancam, apatah lagi dengan kekurangan bekalan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan. Oleh yang demikian, JKSK turut menyambut baik kesediaan Mesir membuka pintu sempadan Rafah tanpa syarat dan ketetapan masa. Keadaan ini bagi penduduk Gaza ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, memberikan ruang dan peluang buat mereka untuk keluar mencari bekalan dan bantuan perubatan di Mesir.
Palestin sekian lama bermandi darah dan air mata. Sudahlah tanah dirampas, bantuan dari luar pula disekat. Zalimnya Zionis yang penuh tipu helah itu. Semoga Allah melaknat mereka dan menjanjikan tanah neraka buat mereka!
HIDUP ISLAM!! HANCUR ZIONIS!!
Isnin, Jun 07, 2010
Oleh Mohamad Faiz bin Mohd Jamaluddin
SKUDAI, 1 Jun - Misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, Palestin kini terbantut apabila kapal Mavi Marmara diserang tentera laut Israel. Sekurang-kurangnya 15 orang dilaporkan terkorban dan berpuluh-puluh lagi cedera parah. Kapal tersebut merupakan kapal induk yang mengetuai konvoi 7 buah kapal membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza yang dizalimi rejim Israel.
Mavi Marmara, kapal Turki yang membawa lebih 540 orang termasuk 12 sukarelawan dan petugas media dari Malaysia (Astro Awani), masih berada di perairan antarabangsa apabila ia ditahan tentera laut Israel. Sepasukan tentera komando dilaporkan turun dari helikopter sebelum menyerang kumpulan aktivis yang tidak bersenjata itu. Wartawan televisyen Al-Aqsa Gaza sempat merakamkan video yang menunjukkan beberapa mangsa terbaring di dek akibat terkena tembakan.
Maklumat terkini mengatakan bahawa kapal Mavi Marmara telah dibawa ke Haifa sementara penumpangnya dihumban ke penjara.
Mengulas mengenai perkara ini, Pengerusi Jawatankuasa Saudara Kita UTM, Ahmad Razali bin Yusoff mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan biadab rejim Israel terhadap saudara se-Islam yang belayar di Laut Meditteranean membawa bantuan kepada penduduk Gaza.
"Saya mengutuk tindakan Israel atas dasar Islam sejagat," katanya sewaktu dihubungi sebentar tadi.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang menaiki kapal Rachel Corrie, satu daripada enam buah kapal kecil yang menyertai konvoi misi kemanusiaan ke Gaza, disahkan selamat setelah rombongan itu bertindak mengubah haluan dan memperlahankan pergerakan kapal.
Rakyat Malaysia terbabit merupakan tiga orang wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) berserta Ahli Parlimen Parit dan dua petugas media TV3. PGPO ialah sebuah pertubuhan untuk keamanan yang diasaskan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebagai organisasi yang mewakili ribuan mahasiswa Islam dan saudara baharu, Jawatankuasa Saudara Kita (JKSK) turut berasa terpanggil untuk menyuarakan desakan kepada rejim zionis Israel supaya menghentikan perlakuan zalim terhadap umat Islam khasnya di Palestin dan membebaskan serta memohon maaf kepada aktivis kemanusiaan, petugas media dan anak-anak kapal Mavi Marmara yang ditahan tanpa diberi peluang membela diri.
JKSK juga memohon secara terbuka kepada pihak kerajaan Malaysia agar dapat mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk peri laku biadab armada tentera laut Israel dan mengadakan rundingan dengan Tel Aviv untuk membebaskan mereka yang ditahan secara tidak adil dan kejam itu.
Akhir sekali, JKSK mengajak saudara se-Islam di seluruh dunia, terutamanya para mahasiswa, pensyarah dan warga Universiti Teknologi Malaysia, bermunajat dan berdoa kepada Allah 'Azza wa Jalla supaya menyelamatkan umat Islam yang sekian lama ditindas musuh akibat kealpaan mereka sendiri. Sama-samalah kita berdoa dan bekerja ke arah penyatuan umat dengan membuang segala anasir yang memecah belahkan kita selama ini. Sudah sampai masanya kita bersatu demi sebuah kebangkitan.
MOHAMAD FAIZ BIN MOHD JAMALUDDIN
Timbalan Ketua Unit Penerbitan,
Jawatankuasa Saudara Kita,
Pusat Islam UTM.
Selasa, Jun 01, 2010
Langgan:
Catatan (Atom)