Namun, di Raudhah, Masjid Nabawi, air matanya tertumpah. Beliau tertunduk. Terharu mengenangkan nikmat Allah yang membawanya ke satu daripada taman-taman syurga. Sungguh, ini lebih mengujakan berbanding pengalamannya bertahun-tahun membelasah petinju di seluruh dunia!
Inilah pengalaman spiritual Mike Tyson ketika melaksanakan ibadah umrah baru-baru ini. Tyson menginjak Tanah Suci untuk kali pertama Jumaat lalu, 2 Julai 2010.
Selama di Madinah, beliau bertemu dengan Dr. Muhammad Al-Uqala, Rektor Universiti Islam Madinah, yang menjelaskan kepadanya tentang segala kemudahan yang diberikan pihak universiti kepada para mahasiswanya yang berasal dari seluruh dunia.
Kunjungannya ke Arab Saudi diatur oleh Persatuan Dakwah Kanada (CDA) yang banyak menaja selebriti Saudara Kita berkunjung ke Arab Saudi untuk melaksanakan rukun Islam selain mengunjungi tempat-tempat bersejarah Islam di Arab Saudi.
Shahzad Muhammad, Presiden CDA, yang juga merupakan duta keamanan Pertubuhan Bangsa Bersatu, mengatakan bahawa Tyson akan berada di Saudi selama satu bulan. Beliau akan mengunjungi tempat-tempat suci dan tempat penting yang lain, serta bertemu dengan orang-orang Saudi untuk lebih mengenali kebudayaan dan tradisi setempat.
Tinggal di sebuah hotel berdekatan Masjid Nabawi, Tyson nyata menjadi tumpuan peminat yang tidak melepaskan peluang menatap wajahnya dari dekat dan mengambil gambarnya meskipun terpaksa menanti berjam-jam. Sambutan yang agak luar biasa ini memaksanya menggunakan khidmat pengawal keselamatan sewaktu berjalan ke masjid bagi menunaikan solat Zuhur.
“Tyson terus berada di kawasan Raudhah selama beberapa jam untuk bersolat, membaca al-Quran dan berzikir,” tambahnya.
Ketika disoal pemberita tentang perasaannya di sana, Tyson berkata, "Saya tidak dapat menahan daripada menitiskan air mata ketika saya mengetahui bahawa saya berada di satu daripada taman-taman syurga.”
Tyson yang nama sebenarnya Michael Gerard Tyson lahir di New York, Amerika Syarikat pada 30 Jun 1966. Beliau memeluk Islam ketika di dalam penjara di Indiana pada pertengahan tahun 1990 selepas didapati bersalah mencabul kehormatan seorang model kulit hitam. Beliau kemudiannya mengumumkan ke-Islamannya secara rasmi setelah dibebaskan pada tahun 1995 dengan memakai nama Islam, Malik Abdul Aziz. Semoga Allah istiqamahkan beliau di jalan yang lurus. Lelaki perkasa seperti beliau amat tinggi nilainya pada umat Islam.