''Islam adalah agama yang besar dan sentiasa melahirkan peradaban besar.'' Demikian dikatakan Timothy John Winter, seorang pensyarah pengajian Islam di Fakulti Teologi Universiti Cambridge, dalam sebuah wawancara dengan John Cleary, wartawan radio ABC, England, pada musim sejuk, April 2004.
Menurut Timothy, peradaban besar yang dihasilkan Islam menyebar dari Timur Tengah ke pelbagai penjuru dunia. ''Lihatlah Alhambra di Sepanyol, Taj Mahal di India dan lain-lain. Semuanya merupakan satu daripada peradaban Islam dalam dunia arkitektur,'' ujarnya.
Tim menjelaskan, Islam memiliki pelbagai ragam tradisi yang berbeza-beza antara satu negara dengan negara yang lain, termasuklah dalam memberikan pujian untuk Allah dan Nabi Muhammad SAW. Misalnya, menurut beliau, tradisi Islam di Afrika berbeza dengan tradisi Islam di Turki, Uzbekistan, Melayu, Bosnia dan lain-lain. Namun, semua itu menggambarkan satu peradaban. ''Islam bersumber dari satu dan pelbagai ragam tradisi itu untuk satu tujuan, yakni Allah. Mereka semua menghadapkan diri ke satu tempat saat berdoa dan sujud, yakni ke arah Makkah yang menjadi kiblat semua umat Islam di seluruh dunia,'' jelasnya.
Itulah yang merintis perkenalan Tim Winter menjadi seorang Muslim. Beliau bercerita, selama beberapa tahun tinggal di Kaherah, beliau menyaksikan kebiasaan masyarakatnya yang selalu mendengarkan radio. Hampir 24 jam, kata Tim, mereka mendengar radio. Pada kesempatan lain, mereka melakukan rutin sesuai dengan agama yang mereka yakini. Mereka solat dan mendengar Al-Quran. ''Dari sinilah, saya mulai memahami kebiasaan orang Islam, yang menurut saya, itu adalah sesuatu yang logik dan benar,'' terangnya.
Dari kebiasaan itu, lanjutnya, mulailah timbul keinginan Tim untuk mempelajari agama yang dianut majoriti penduduk Mesir. Beliau juga mencuba membandingkan ajaran agama Islam dengan ajaran yang telah dianutnya ketika itu, iaitu Kristian Katolik. ''Lama-kelamaan, saya berasa ada sesuatu yang berbeza antara yang saya pelajari dalam agama saya dengan keyakinan masyarakat itu,'' kata peminat muzik Turki ini.
Sesuatu yang berbeza itu, lanjut Tim, adalah masalah keyakinan keagamaan. ''Dalam agama yang saya anuti sebelumnya, kami mengenal adanya Tritunggal (Tuhan Bapa, Anak, dan Roh Kudus). Dari sini, saya menyedari, mengapa Christ merelakan dirinya untuk menebus dosa-dosa yang dilakukan orang lain kalau hanya untuk menyelamatkan umatnya ketika itu.''
Padahal, lanjut Tim, semua manusia itu dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah). Mereka tidak berdosa. Lalu, mengapa ada orang yang harus merelakan dirinya untuk menjadi 'penebus dosa' itu. ''Jika memang demikian kebenarannya, jahat benar Tuhan itu sampai harus anaknya yang menjadi penebus dosa orang lain,'' tegasnya.
Dari sinilah, kata Tim, beliau semakin menyedari bahawa ada 'kekeliruan' yang disengajakan. ''Saya menjadi seorang Muslim bukan karena ajakan, tetapi saya berfikir dan melakukan introspeksi. Saya tidak ingin sekadar menjadi pengikut. Saya harus membuktikannya dan mencari kebenarannya sebab saya diberikan akal untuk berfikir,'' tegasnya lagi.
Menurut Tim, penjelasan Al-Quran tentang Jesus jauh lebih tepat dan dapat dipercayai, termasuk tentang dosa asal. ''Bagi saya, Jesus hanyalah seorang guru dalam agama Yahudi, yang membawa pesan kedamaian daripada Allah untuk umat manusia, sebagaimana tertulis dalam Al-Kitab (Bible) Ibrani,'' terangnya.
Saat disinggung mengenai sejumlah oknum umat Islam yang melakukan tindakan kekerasan dan terorisme, Tim menyatakan bahawa tindakan kekerasan tidak hanya dilakukan oleh umat Islam, tetapi juga boleh dilakukan oleh oknum umat agama lain. ''Kita juga boleh menyaksikan, bagaimana di Pentagon, antara kelompok yang satu dengan kelompok yang lain dalam agama yang sama mempunyai sikap berbeza dalam melihat kekerasan dan pelakunya,'' ujarnya.
Bahkan, lanjut Tim, kekerasan biasanya timbul dan dilakukan oleh suatu kelompok tertentu kerana mereka berasa terdesak dan karena harga diri mereka diinjak-injak. ''Apabila kita semua mahu menyedari dan melihat akar masalah yang sebenarnya, tentu sikap kekerasan yang muncul kerana ada latar belakangnya,'' ujar pemilik nama Muslim, Abdal Hakim Murad ini.
Tim menegaskan, Islam dan seluruh agama apa pun di dunia ini tidak mengajarkan umatnya untuk bertindak kejam. Apalagi sampai melakukan tindakan yang mengakibatkan hilangnya nyawa orang lain. ''Islam itu agama yang damai dan tidak pernah mengajarkan kekerasan,'' tegasnya.
Biodata Saudara Kita
Nama asal: Timothy John Winter
Nama Muslim: Abdal Hakim Murad
Lahir: London, 1960
Pekerjaan: Pensyarah Pengajian Islam di Universiti Cambridge
Jawatan: Secretary of the Muslim Academic Trust and Islamic Scholar (London)