Assalamu’alaikum w.b.t.
Tatkala pena di alam maya ini menari-nari, diri ini sangat merindui pada bulan yang mulia, bulan kerahmatan dan bulan keampunan. Pasti juga seluruh umat Islam ternanti-nantikan bulan yang penuh barakah yang mana didalam bulan ini terdapat pelbagai pengajaran yang dapat diambil bagi meningkatkan lagi hubungan dan memperkasakan diri sebagai muslim sejati disisi Allah S.W.T. Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Wahai manusia! Sesungguhnya kamu dibayangi dengan satu bulan yang agung lagi diberkati, iaitu bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang diwajibkan Allah puasa fardhu pada siang hari, amalan sunat pada malam-malamnya.”
Dalam menghitung detik-detik tibanya bulan Ramadhan ini, pastinya kita perlu mempersiapkan diri kita dengan senjata-senjata diri agar tidak ampuh apabila menghadapinya kelak. Apa yang dimaksudkan dengan senjata diri ini? Ayuh sahabat-sahabat, dalam beberapa hari yang berbaki ini, marilah kita ‘warming up’ diri kita sebelum tibanya hari kejadian. InsyaAllah, disini penulis ingin berkongsi mengenai persiapan menghadapi bulan Ramadhan yang diperoleh dari siri kuliah Maghrib yang sempat diikuti.
Pertama : Persiapan roh dan keimanan.
Bagaimana persiapan roh dan keimanan kita? Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing. Seperti yang kita ketahui, bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiyah bagi umat Islam. Justeru, dalam mentarbiyahkan diri kita, perlunya kita melakukan amalan-amalan yang bersifat kerohanian yang dapat membangkitakan rasa keimanan dan kecintaan kita kepada Allah S.W.T. antaranya adalah memperbanyakkan bacaan Al-Quran, berpuasa sunat, mengerjakan solat-solat sunat dan bersedekah. Amalan membaca Al-Quran misalnya, jika dibiasakan, insyaAllah Ramadhan ini dapatlah kita mengkhatam Al-Quran jika dapat membaca satu juzuk sehari. Jika lancar lagi, dua juzuk sehari, maka dapatlah kita mengkhatam Al-Quran sebanyak dua kali. Subhanallah, betapa besar ganjaran yang Allah S.W.T. berikan bagi hambaNya yang melakukan amal kebaikan dan kebajikan di dalam bulan Ramadhan ini. Sabda Rasulullah s.a.w.
"Sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan daripada amal-amal kebajikan dan kebaikan, seolah-olah dia telah melakukan satu perkara fardhu, sementara yang melakukan satu perkara fardhu (pada bulan Ramadan), seolah-olah dia telah melakukan 70 perkara fardhu."
Kedua : Persiapan fizikal
Makanan kepada roh itu adalah jasad (fizikal). Jika jasad kita lemah, bagaimana kita nak membangunkan roh dan keimanan kita? Maka, disini perlunya kita membuat persiapan fizikal yang mantap agar diri kita tidak semput, lelah serta penat dalam proses pertarbiyahan di dalam bulan Ramadhan yang bakal menjelma. Membangunkan solat malam (qiyamullail) adalah antara terapi yang berkesan dalam meningkatkan keupayaan fizikal disamping persiapan-persiapan yang lain.
“Orang yang bersolat tahajud akan memperoleh bermacam-macam nikmat yang menyejukkan pandangan mata”.(as– Sajdah :16-17) , tutur kata yang berkesan, mantap dan berkualiti, qaulan tsaqila (al-Muzammil : 5)
Ketiga : Persiapan harta
Kaya dalam Islam bermaksud kaya untuk orang lain. Pelik bunyinya tetapi itulah hakikat yang sebenarnya kerana sesungguhnya rezeki itu milik Allah S.W.T. yang dikurniakan untuk hamba-hambaNya. Menelusuri tokoh sejarah Islam, Abdul Rahman Bin Auf, harta kekayaan yang diperolehinya digunakan dalam menegakkan agama Allah dan menginfak kepada yang memerlukan. Kita pula bagaimana? Di bulan penuh barakah ini, persiapkanlah harta kita dalam bersedekah sebagaimana firman Allah S.W.T.:
Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah S.W.T. seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui. (Al-Baqarah: 261)
Empat : Persiapan kefahaman dan ilmu (intelektual)
Ibaratnya kita ingin menguasai sesuatu subjek, maka kita perlu memahami apa yang terkandung dalam subjek tersebut. Maka jika diaplikasikan dalam konsep persiapan menghadapi Ramadhan, maka perlunya kita memahami mengenai bulan Ramadhan itu sendiri, apa yang terkandung didalamnya, konsep halal dan haram di bulan Ramadhan, peristiwa yang berlaku dibulan Ramadhan dan pelbagai aspek yang perlu diketahui.
InsyaAllah, semoga apa yang dikongsi disini dapat dipraktikkan bersama dalam menghitung detik-detik tibanya Ramadhan ini. Wallahu’alam.
Hamba yang lemah,
Nur Atikhah binti Abd Halim
4 SKB
Ketua Exco Penerbitan dan Multimedia,
Jawatankuasa Saudara Kita, JKSK