MOHD YUSUF SIDIN BIN ABDULLAH
TIMBALAN PENGERUSI 1 JKSK
4 SKK
Assalamu’alaikum wmt. wbt
Segala puji bagi Allah Swt, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, dengan petunjuk dan hidayah daripadanya dapat kita bersua kembali di UTM untuk meneruskan pengajian di dalam bidang masing-masing. Tidak lupa juga kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang dengan usaha baginda bersama para sahabat, dapat kita mewarisi dan mangamalkan serta menyebarkan Islam atas petunjuk daripadaNYA, Insya Allah.
Syabas dan tahniah buat adik-adik yang berada di tahun pertama kerana memilih Universiti Teknologi Malaysia sebagai medan untuk menimba ilmu dimana perjuangan adik-adik ini merupakan tilik tolak perubahan sikap serta pemikiran mengikut arus drama keadaan persekitaran di kampus UTM ini. Maka dengan ilmu pengetahuan ini jugalah aset yang akan menaikkan darjat seseorang dari kalangan mereka yang berilmu.
Firman Allah SWT.
Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu pengetahuan) dengan orang-orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu pengetahuan)? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna..
- Surah Az-Zumar, Ayat 9
Untuk melahirkan saudara baru yang berakidahkan Al-Quran dan juga Sunnah Rasullulah SAW yang lebih mantap, tidaklah semudah seperti kita mudah untuk menyebut perkataan itu. Ia sebenarnya berteraskan kepada hasil kesedaran dan juga usaha yang berterusan daripada kita yang berjiwa muslim untuk membimbing mereka supaya acuan Islam dapat dibentuk melalui usaha yang tidak kenal penat dan lelah. Bagi mereka yang memilih agama Islam setelah meninggalkan agama terdahulu, peluang untuk belajar adalah sangat luas kerana terdapat rakan-rakan yang bersedia untuk membantu untuk memastikan anda semua dapat mengamalkan Islam yang sebenar.
Bagi mereka yang berkecimpung dalam usaha dakwah pada saudara kita, manfaatkan pengalaman yang diperolehi untuk kita berhadapan dengan masyarakat yang lebih dewasa dimana idea-idea dan juga tenaga kerja kita diperlukan untuk manfaat pembangunan kemasyarakatan. Landasan ini dapat diperolehi sekiranya kita dapat berbakti dengan seikhlas dan juga sejujur yang mungkin di dalam gerak kerja kita.
Semoga dengan sedikit sumbangan kita yang berada di organisasi ini menjadi salah satu daripada saham untuk kita berhadapan dengan Yang Maha Mencipta pada hari penghitungan amal. Semoga dengan sedikit amal ini juga akan membuka pintu hidayah daripada Allah untuk kita berlumba-lumba dalam menegakkan kalimahNya yang agung dan seterusnya mengenali orang ramai akan agama Islam sebagai satu cara hidup yang menjadi fitrah manusia. Insya Allah.